SEBATANG PEN, SERIBU TANGGUNGJAWAB
🖊️ Sebatang PEN, Bahagian Atau Derita!
Nampak macam biasa je, sebatang pen. Harga mungkin RM1.50, tapi tandatangan yang dibuat dengannya boleh membawa nilai berjuta-juta ringgit. Kalau silap langkah, bukan setakat pen hilang dakwat, tuan punya pen pun boleh hilang kebebasan!
Dalam dunia kerja, terutama bab kewangan, kontrak dan kelulusan pembayaran, jangan terlalu mudah menurunkan tandatangan. Jangan sebab bos suruh, kita terus sign. Jangan sebab kawan minta tolong, kita terus lulus. Jangan pula sebab dokumen tebal sangat, kita tandatangan di muka surat terakhir tanpa membaca. Itu bukan cekap, itu cari nahas!
Ingat, ayat “Saya cuma tandatangan sahaja” mungkin kedengaran mudah, tetapi belum tentu mudah diterima apabila siasatan bermula.
Bila audit datang, dokumen dicari. Bila siasatan bermula, tandatangan diperiksa. Bila ditanya, semua mula ingat siapa yang sediakan, siapa yang semak dan siapa yang luluskan.
Masa semuanya berjalan lancar, ramai mahu berkongsi kredit. Bila timbul masalah, tiba-tiba semua jadi pakar ayat, “Saya tak tahu, saya cuma ikut arahan.” Alamak, masa tandatangan tangan sendiri yang bergerak, masa menjawab soalan semua nak cari orang lain!
Jadi, sebelum tandatangan, semak dahulu. Pastikan dokumen betul, prosedur dipatuhi dan kelulusan dibuat mengikut kuasa yang diberikan. Kalau ada keraguan, bertanya itu lebih baik daripada menyesal kemudian.
Kesimpulannya:
🖊️ Pen RM1.50, jangan sampai bayar dengan kebebasan sendiri.
📄 Baca sebelum tandatangan, bukan baca selepas disiasat.
⚖️ Ingat, tandatangan itu kecil, tetapi tanggungjawabnya boleh jadi besar.
Jangan sampai sebatang pen menjadi saksi bisu, dan mahkamah pula menjadi tempat kita menjelaskan cerita!
#Integriti #TadbirUrus #Akauntabiliti #FikirSebelumTandatangan